Monday, May 31, 2010

Bicara iman

BISMILLAH WAL HAMDULILLAH..

Hati : Wahai lisan yang indah kejadiannya tidak bertulang, mengapakah engkau diam?

Lisan : Diamku bukanlah bermakna aku redha.

Hati : Maksudmu?
Lisan :

Aku tidak sekuatmu wahai hati. Walaupun keadaanmu sering berbolak-balik tapi mujahadahmu tinggi. Kau tetap membenci maksiat dan dosa yang berlegar diruang sahabat mata kita. Kau juga terasa sakit dengan perlakuan jijik yang dilakukan tangan walau sekerasnya kau menentang. Kau sepantasnya membasuh titik-titik hitam yang bertamu pada dirimu lantaran kelakuan pemilikmu yang tidak lari dari melakukan kesalahan. Aku sedih bila sering melihatmu terlantar sakit tenat. Lama. Dirimu dipenuhi kudis-kudis maksiat. Makin hari makin teruk. Aku tidak mahu melihatmu mati sebelum tiba masanya. Aku mahu kau sihat menjadi hati sejahtera supaya kau bisa membimbing sahabat anggota kita yang lain. Aku masih ingat potongan sabda nabi yang kau pegang kemas :
”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
Bukhari dan Muslim
Aku rindu menatap mutiara jernih kepunyaan sepasang mata setiap kali kau berbisik nama Allah. Aku rindu melihat dahi yang begitu asyik mencium tempat sujudnya jika kau mahukan ketenangan berjumpa Pencipta kita. Bila kau kembali sihat, tidak jemu-jemu sapuan penawar zikrullah di sapu pada kudis maksiat itu. Tapi aku tahu, kau terkilan kerana bekas-bekas kudis maksiat masih ada. Kau risau penyakit itu kembali kan? Aku tahu memang sukar untuk kau mengelak dari cinta-cinta palsu yang mengasyikkan. Kerap kau tersasar. Tapi mungkin kerana iman, membuat kau cepat tersedar dan memperbaharui arah tujuanmu. Teruslah membimbing kami wahai hati. Teruslah menjadi raja kami untuk membentuk kerajaan syakhsiah yang tinggi kemuliaannya. Jangan biarkan nafsu yang kerap lesu itu merampas takhtamu.
Hati : Oh lisan yang bijak menutur kata. Mengapa tidak kau gunakan kehebatanmu ini untuk menundukkan lebih banyak hati? Aku hanya mampu memberi arahan pada satu jasad, sedangkan kau punyai otot-otot yang kuat dan mampu menarik banyak hati untuk bertaut menuju Cinta Yang Satu. Wahai lidah, bukan kumahu menuding jari kepadamu. Cuma aku hanya mahu kau sedar keunikan dan kehebatanmu. Dirimu boleh jadi setajam pedang yg mampu membunuh lawan iaitu musuh kita bersama. Malah kau juga mampu menjadi sedingin bayu hikmah untuk menyedarkan stiap telinga yang mendengar. Ajaklah hati-hati kontang itu menikmati aliran ma'aruf dan halanglah hati-hati legam itu terus menjejejak kemungkaran yang gelap. Ingatkah sepotong ayat Allah yang pernah meniti syahdu di lisanmu :
كنتم خير أمةٍ أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر‏
(‏‏(‏آل عمران‏:‏ 110
Kadang-kadang aku cemburu bila teringatkan sabda Rasul junjungan umat Islam:
Barangsiapa diantaramu melihat suatu kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu, ubahkah dengan lisannya, dan jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. (HR Muslim dan Ashabus Sunan).

Mengubah kemungkaran dengan hati adalah selemah-lemah iman. Tapi cemburuku bukanlah buta sehingga tak dapat membezakan haq dan batil. Setiap dari kita perlu bekerjasama. Kau perlu bersuara dengan berani wahai lisan. Bukan hanya basah dengan zikrullah bekalan buat dirimu tapi dakwah kepada saudara seagama dan seaqidah kita juga mesti disampaikan. Aku akan membantumu menyediakan hujjah dan dalil agar setiap butiran permata yang kau luahkan mampu membawa hati-hati kearah kebenaran hakiki. Aku akan sedaya-upaya menjernihkan hati ini supaya mudah ilmu-ilmu Allah masuk dan lekat kekal selamanya. Supaya ilmu Allah yang luas itu dapat dikongsi sebaiknya.


Lisan :

Ya! Aku akan cuba seperti yang kau sarankan. Ini kewajipan. Lidah ini tak seharusnya terus terkunci jika maksiat berlaku didepan mata. Kesemua anggota juga perlu bersama mengamalkan apa yang bakal aku perkatakan. Barulah seruan amar ma'ruf dan nahi mungkar dapat diamalkan secara menyeluruh. Baiklah. Ada tugas yang perlu kulakukan. Kali ini aku takkan beralasan lagi.


Hati : Semoga kau bisa membuat banyak hati-hati tunduk kepada Yang Maha Esa.

Lisan : Harap kau sudi berkongsi segala yang pernah kau pelajari.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails