Wednesday, February 16, 2011

Kaya yang beriman atau miskin yang fasiq?

Bismillah wal Hamdulillah.


Pada hari kiamat Allah SWT akan menolak alasan empat orang dengan empat iaitu:

  • jika si kaya berkata, "Kekayaan itulah yang menyebabkan aku sibuk sehingga tidak sempat beribadat." Maka dijawab Allah SWT, "Engkau tidak lebih kaya dari Sulaiman a.s. tetapi kekayaannya tidak melupakannya dari ibadat."

  • Jika hamba sahaya berkata, "Kerana saya sebagai hamba sahaya maka tidak dapat bebas untuk beribadat kepadaMu." Maka Allah SWT menjawab, "Yusuf AS menjadi hamba sahaya tetapi kehambaannya tidak menghalangi untuk melakukan ibadat."

  • Jika si miskin berkata, "Kemiskinanku itulah yang menghalangi untuk beribadat kepadaMu." Maka Allah SWT menjawab, "Engkau tidak lebih miskin dari Isa AS tetapi Isa AS tidak terhalang untuk melakukan ibadat."

  • Jika terhadap orang yang sakit dengan Nabi Ayyub AS. Jika si sakit berkata, "Penyakitku itulah yang menghalangi aku untuk beribadat." Maka Allah SWT menjawab, "Penyakitmu tidak lebih berat dari penyakit Ayyub AS tetapi ia tidak terhalang untuk beribadat kepadaKu."
Yang membezakan kita bukanlah kaya, miskin atau sebagainya. Yang membezakan kita adalah Taqwa dan Iman kepada Allah. Yang penting, usaha kita untuk menjadi yang terbaik dan hebat!

Salahkah kita mengumpul harta jika ianya boleh membawa manfaat. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk orang lain. Dan sememangnya kebanyakan dari kita mencari harta. Mencari dan terus mencari. Penceramah motivasi pun ada bayaran. Jadi, mengapa ada mulut-mulut yang berkata negatif pada si kaya(para pencari harta).

Hanya kerana si Qarun yang lupa diri, maka semua orang kaya wajar dipersalahkan? Tanpa sedar, sebenarnya kita menjejak kearah yang sama. Menjejak dunia berharta. Selagi kita terus berfikiran negatif, menjadi miskin juga bukanlah terbaik untuk diri. 

Cuma, fokus kita di dunia ini bukanlah semata-mata mengejar harta. Tetapi ia adalah salah satu wasilah untuk mengumpul amalan buat di bawa ke syurga. Bila kita kaya, kita boleh bersedekah. Bila kaya, kita boleh membina masjid atau rumah bagi mereka yang memerlukan. Dan banyak lagi. 

Jika dilihat pada fenomena zaman sekarang. Kesempitan hidup membawa kepada masalah jenayah. Pelajar sekolah menjadi pengedar dadah kerana memerlukan duit untuk membayar yuran. Peniaga terpaksa meminjam along yang terlibat riba kerana mahu memulakan perniagaan. Mahasiswi menjua badan dan maruah hanya untuk top-up!

Saya bukanlah menghina orang miskin. Bahkan Rasulullah sendiri adalah miskin serba-serbi. Tetapi, janganlah kita menganggap kerja mencari harta adalah sia-sia. Jika kita boleh mendapat lebih, kenapa kita tolak?

Nabi bersabda: Sesungguhnya sebenar-benar kaya adalah kaya jiwa.

Jadi mengapa tidak kita kayakan jiwa dan kayakan diri. Sahabat Nabi seperti Uthman bin Affan juga termasuk dalam kalangan hartawan. Hartanya digunakan untuk Islam. Hartanya digunakan dalam peperangan. Lihat! Masalahnya bukan pada si kaya, tetapi pada diri.

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu PERNIAGAAN yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? 
(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan HARTA dan JIWAMU, itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahuinya, (Surah as-Saff : ayat 10-11)

Lihat Firman Allah di atas, bagaimana untuk melepaskan diri dari azab? Berkorban DIRI dan HARTA. Diri, ya kita ada. Tetapi harta?

Sekadar mahu membuka minda. Wallahua'lam. ^_^




No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails