Friday, January 15, 2010

PEMBAKARAN GEREJA: WASPADA DENGAN TIPUDAYA

Rentetan dari tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009 yang lalu, sebahagian dari umat Islam telah melakukan demonstrasi membantah keputusan mahkamah tersebut. Demonstrasi kali ini agak istimewa di mana Perdana Menteri sendiri telah pun memberikan ‘lampu hijau’ ke atasnya, malah pihak polis dan pasukan cawangan khas (SB) yang hadir turut memberikan kerjasama, satu pemandangan yang sukar dilihat di Malaysia. Dalam pada ramai umat Islam yang masih ‘terkejut’ dengan sokongan kerajaan ke atas demonstrasi yang diberi liputan besar-besaran ini, berlaku satu lagi kejutan apabila tidak lama selepas itu beberapa buah gereja di sekitar Lembah Kelang dilaporkan terbakar atau cuba dibakar. Insiden pertama berlaku di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati pada pukul 12.30 tengah malam pada 8 Januari lepas, disusuli kejadian di Gereja Assumption di Petaling Jaya kira-kira pukul 4 pagi dan Gereja Chapel, Damansara pada pukul 9 pagi [UM 10/01/10].

Kejadian yang sama kemudian melarat ke Ipoh di mana dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah, selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah. Tiada kerosakan berlaku pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, katanya [UM 11/01/10]. Insiden pembakaran seterusnya menular ke Negeri Sembilan apabila Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Seremban di Lakeview Square, Seremban 2 dibakar pada awal pagi [UM 12/01/10].

Setakat ini, polis masih melakukan siasatan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, beberapa pemimpin tertinggi kerajaan nampaknya ‘kepanasan’ apabila pihak pembangkang seolah-olah menuding jari bahawa UMNO adalah dalang di sebalik apa yang berlaku. Sebagai tanda simpati, Datuk Seri Najib Tun Razak telah turun sendiri melawat Gereja Metro Tabernacle selama 15 minit untuk menilai kerosakan gereja tersebut dan terus mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada gereja tersebut untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain [UM 10/01/10]. Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz adalah antara pemimpin tertinggi PAS yang turut melawat rumah ibadat Kristian yang terbakar itu sebagai tanda simpati.

Haram Merosakkan Rumah Ibadat Agama Lain

Islam mengharamkan penganutnya dari merosakkan rumah ibadat agama lain, baik dengan membakar atau memusnahkannya dengan apa cara sekalipun. Walaupun kita tidak bersetuju dan tidak redha dengan perbuatan mereka dalam apa jua hal, khususnya dalam soal kekufuran mereka kepada Allah, namun kita diharamkan untuk membakar atau merosakkan rumah ibadat mereka. Sesungguhnya Rasulullah dan para sahabat (Ijmak Sahabat) tidak pernah menunjukkan atau membenarkan hal ini dilakukan. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

“...Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya...” [TMQ al-Hajj (22):40].

Di dalam kitab Tafsir at-Thabari, beliau menyebut bahawa Ibnu Khuwaiz Mindad berkata, ayat ini mengandungi larangan meroboh dan merosakkan binaan gereja kafir ahli zimmah, dan biara-biara mereka.

Jika kejadian ini didalangi oleh pihak tertentu yang cuba meraih political milage, semoga Allah membalas kejahatan mereka dengan setimpal. Tetapi sekiranya kejadian ini benar-benar dilakukan oleh umat Islam yang ikhlas yang tidak sanggup melihat puak-puak kuffar menyalahgunakan kalimah Allah, maka nilailah dengan mendalam apa yang anda telah lakukan. Di samping menyalahi hukum syarak, ‘kesan’ penting dari peristiwa pembakaran ini adalah menyebabkan pihak polis dan juga pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang lebih berpihak kepada gereja. Sebaik sahaja terjadinya peristiwa ini, ketua-ketua polis di seluruh negara telah mengarahkan ramai dari anggota mereka untuk menjaga keselamatan tempat ibadat kufur tersebut. Kerajaan malah, tanpa siasatan bermula pun lagi, telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada gereja Metro Tarbenacle, satu jumlah yang bagi kerajaan mungkin semacam RM5, tetapi tidak bagi rakyat. Proses menjaga keselamatan gereja juga tentunya akan memakan masa yang agak panjang dan tentunya menelan belanja yang tidak sedikit di dalam keseluruhan prosedurnya. Dari manakah semua wang yang telah dan akan dibelanjakan ini jika bukan wang rakyat?

Memanglah kita tidak nafikan bahawa menjadi tugas kerajaan untuk menjaga keselamatan dan keamanan rakyat, namun persoalannya di sini adalah, siasatan masih belum selesai dijalankan, namun wang yang begitu banyak telah dibayar kepada pihak yang berkenaan. Di samping kita tidak menolak dakwaan pembangkang yang menyalahkan kerajaan, mungkin sahaja pembakaran ini dilakukan oleh segelintir puak Kristian sendiri yang cuba menangguk di air keruh. Sepatutnya kerajaan selesaikan dahulu siasatan sebelum memberi gantirugi. Setelah jelas siapa yang bersalah, barulah boleh timbul soal gantirugi, tetapi bukan sebelumnya. Berapa banyak kes-kes yang berlaku sebelum ini sehingga ada yang melibatkan kematian, tetapi kerajaan tidak pernah membayar gantirugi sebelum kes diputuskan oleh Mahkamah. Tetapi dalam kes ini, kerajaan bertindak sepantas kilat memberi gantirugi. Lihat sahaja kes tiga orang pelajar di Kampar yang mati lemas akibat jambatan runtuh semasa menghadiri perkhemahan 1Malaysia pada 27 Oktober tahun lepas. Begitu juga dengan kes kematian Teoh Beng Hock semasa siasatan SPRM, dan banyak lagi kes lainnya yang ada kaitannya dengan kerajaan, semuanya tidak mendapat ‘gantirugi simpati’ dari kerajaan sebagaimana kes pembakaran gereja ini. Oleh itu, fikirkanlah betapa ruginya umat Islam itu sendiri dengan kejadian pembakaran gereja ini, di mana terlalu jelas bahawa segala kelebihan adalah berpihak kepada orang-orang kafir.

Kesan langsung yang tak kurang pentingnya adalah propaganda yang boleh dilakukan oleh orang kafir ke atas umat Islam. Walaupun ia hanya perbuatan beberapa orang yang tidak bertanggungjawab, tetapi golongan kuffar tentunya akan mengambil kesempatan dengan kejadian yang berlaku ini untuk memburukkan lagi Islam dan umatnya. Peristiwa pembakaran ini boleh sahaja diperbesarkan oleh orang kafir bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara yang akan memberi ruang kepada orang kafir di seluruh dunia untuk bersatu suara memburukkan lagi Islam dan umatnya.

Di dalam negara, peristiwa ini (tidak kira siapa yang melakukannya) telah memberi kelebihan kepada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjustifikasi kerelevanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA yang kononnya mahu dikaji oleh Najib pada awal pemerintahannya, kini masih sahaja tetap tidak terusik sedikitpun, malah dengan apa yang berlaku ini, memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk menguatkan hujah mereka bahawa ISA masih diperlukan. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersetuju ISA digunakan jika langkah tersebut mampu membendung menularnya perbuatan menyerang gereja. Beliau berkata, ISA wajar digunakan jika langkah tersebut didapati berkesan dalam mengembalikan semula keamanan dan ketenangan di negara ini. Bahkan Menteri Dalam Negeri sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penggunaan ISA merupakan pilihan terakhir dalam membendung perbuatan menyerang gereja yang berlaku sejak beberapa hari lalu [UM 11/01/10]. Hanya kerana perbuatan khianat seorang dua manusia, ISA mesti terus ada. Kerana seorang Jebat yang menderhaka, taming sari mesti terus diguna dan dipelihara!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika benar mereka yang membakar gereja atau cuba membakar gereja adalah dari kalangan umat Islam yang ikhlas, semoga mereka yang bertanggungjawab ini sedar akan perbuatan salah mereka dan tampil membuat pengakuan, dan mereka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah, dan semoga Allah mengampuni mereka. Namun, jika ia dilakukan oleh pihak lain, maka kita semua hendaklah sentiasa berwaspada dan mengingatkan antara satu sama lain akan agenda jahat yang tersembunyi di sebalik peristiwa nama Allah dan pembakaran gereja ini, baik ia dilakukan oleh orang kafir mahupun orang Islam. Ingatlah akan firman Allah bahawa,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Dan firmanNya,

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu, sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):51].


gQ: Jangan cepat melatah dengan apa-apa isu yg berlaku. Bertindak dengan akal yg waras dan soheh. Yang salah pasti di hukum, yang benar pasti menang. Allahu Akbar Kabeera!!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails