Friday, January 15, 2010

Ya Allah nama-Mu diperjuang, hukum-Mu dibuang

Nama Allah Diperjuang, Kenapa HukumNya Dibuang?

Setakat kajian yang telah dilakukan, dari dulu hingga sekarang pihak Kristian tidak pernah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai Tuhan, baik di dalam kitab mahupun penulisan rasmi mereka, tetapi mereka menggunakan perkataan ‘God’. Lantas apakah agenda mereka kali ini sebenarnya? Tidak mustahil bahawa ini merupakan usaha terbaru mereka untuk mendakwahkan agama Kristian di kalangan orang Islam. ‘God’ diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difahami oleh anak-anak muda yang pastinya akan menolak sekiranya Nabi Isa dikatakan sebagai Tuhan. Hakikatnya, apa yang perlu disedari dan dilawan adalah keseluruhan dakyah Kristian itu sendiri, bukannya terperangkap dengan isu istilah yang mereka gunakan. Kita perlu bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab apakah langkah yang mereka laksanakan untuk memantapkan dan menjaga akidah umat Islam? Apakah jalan yang mereka tempuh apabila mereka melihat para pendakwah Kristian gencar menarik anak-anak muda ke agama Kristian? Apa pula tindakan pemerintah ke atas kes-kes murtad yang semakin bertambah?

Kita memang yakin bahawa golongan Kristian dan Yahudi tidak akan henti-henti cuba menyesatkan umat Islam. Allah telah pun mengingatkan kita tentang perangai dua golongan kuffar ini. Ratusan tahun lamanya mereka berjuang melalui serangan missionaris dan juga orientalis untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Setelah ratusan tahun berusaha, mereka akhirnya berjaya melemahkan dan menghancurkan bukan sahaja umat Islam, malah Daulah Islam sekaligus. Khilafah berjaya mereka runtuhkan. Sejak itu hingga kini, usaha mereka masih tetap berterusan. Namun perlu diingat bahawa usaha jahat mereka sering mencapai kejayaan kerana lemahnya akidah umat Islam itu sendiri dan yang lebih utama, adanya ‘kerjasama’ dan ‘bantuan’ dari pihak pemerintah kaum Muslimin. Sekiranya akidah umat Islam itu lemah, tetapi jika sistem yang berjalan adalah sistem Islam, maka sistem ini akan dengan sendirinya menjaga akidah umat melalui penerapan hukum Islam yang syumul. Tetapi, dengan penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan, maka para pemerintahlah yang telah mempermudahkan laluan puak kuffar ini untuk menyebarkan dakyah sesat mereka ke atas umat Islam. Apa tidaknya, pemerintah telah ‘menyediakan’ satu sistem demokrasi kufur yang diambil dari Barat, mereka juga menyediakan mahkamah kufur dengan undang-undang kufur, malah kadang-kadang hakim kafir atau jika hakim itu beragama Islam sekalipun, ‘kepala’nya dipenuhi dengan pemikiran dan hukum kufur. Semua ini telah mempermudahkan apa sahaja agenda jahat golongan kuffar ke atas umat Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika kalian merasakan bahawa puak kuffar ingin memperdaya kalian, sedarlah bahawa itulah juga yang sedang dilakukan oleh pemerintah sekular yang ada sekarang. Mereka telah lama memperdaya kalian dan mereka akan terus memperdaya kalian. Bila timbul isu sebegini contohnya, para pemerintah cuba berlagak sebagai penyelamat. Dengan memperjuangkan nama Allah, mereka menunjukkan seolah-olah merekalah golongan yang memperjuangkan Islam. Begitu juga segelintir umat Islam, sama ada mereka adalah talibarut pemerintah atau mereka yang ikhlas namun terkeliru di dalam perjuangan, terus bangkit dan menyuarakan kemarahan terhadap penggunaan nama Allah. Sungguh malang apabila hal ini terjadi di mana ‘nama’ Allah mereka perjuangkan, namun ‘hukum’ Allah mereka bakul sampahkan. Sesungguhnya sesuatu yang jauh lebih berbahaya yang sedang kita hadapi sekarang adalah penerapan hukum kufur oleh pemerintah ke atas kita semua. Mereka kononnya menjaga nama Allah habis-habisan, tetapi hakikatnya mereka telah membuang hukum Allah habis-habisan. Inilah yang sepatutnya menjadi bantahan umat Islam. Adanya keputusan mahkamah kufur adalah kerana adanya kerajaan yang mewujudkannya. Justeru, bukan sekadar penyesatan melalui penggunaan nama Allah yang boleh puak kuffar lakukan, namun yang jauh lebih serius dari itu, umat Islam telah terlalu lama berada di bawah kesesatan undang-undang dan sistem kufur yang diterapkan oleh pemerintah yang beragama Islam. Sesungguhnya amat jeleklah bagi mereka yang bersungguh-sungguh menunjukkan kehebatan di dalam melaungkan pembelaan terhadap penggunaan nama Allah tetapi mereka sendiri mengotori tangan-tangan mereka dengan mencampakkan hukum Allah dan menerapkan sistem kufur buatan tangan mereka sendiri. Bagai ayam si tombong, kokok berderai-derai, ekor bergelimang najis.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails